Friday, June 17, 2011

Khuatir bumiputera dipinggirkan
KUALA LUMPUR 17 Jun - Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menyasar penyertaan 60 peratus dalam semua projek Program Transformasi Ekonomi (ETP).
Presidennya Syed Ali Alatas berkata, ketika ini penyertaan anggota DPMM dalam projek tersebut tidak menggalakkan.
Menyebut contoh Projek Transit Aliran Massa (MRT) beliau berkata, hanya 37 kontraktor Kelas A, yang merupakan anggota DPMM, terlibat dalam empat peratus daripada projek itu.
Menurut laporan di sini baru-baru ini, kos pembinaan keseluruhan projek pengangkutan bandar MRT sepanjang 150 kilometer mungkin meningkat sehingga RM50 bilion.
Syed Ali berkata, DPMM tidak begitu berpuas hati dengan pengumuman projek permulaan (EPP) yang diumumkan oleh PEMANDU.
"Kami agak khuatir dengan skala di mana syarikat bumiputera dipinggirkan daripada ETP..sepatutnya ada pengagihan kekayaan," katanya.
"ETP merupakan peluang terakhir bagi komuniti Bumiputera untuk membangunkan keupayaan dan bersaing pada asas yang sama rata dalam pasaran Malaysia dan global.
"Alasan yang diberikan ialah kontraktor bumiputera hanya boleh melaksanakan projek-projek kecil seperti sistem saliran," katanya, sambil menambah ini telah memusnahkan sebarang harapan syarikat bumiputera untuk menyertai di pasaran global. Syed Ali berkata, anggota DPMM sebenarnya boleh melaksanakan projek secara usaha sama. "Kami telah pergi ke India untuk membuat projek jalan raya. Indonesia juga telah mempelawa kami bagi melaksanakan projek-projek dan kami menyasar Arab Saudi sekarang. Saya baru balik dari Jeddah," katanya.
Justeru itu, Syed Ali berkata, PEMANDU perlu mengkaji semula peranannya dalam pelaksanaan EPP.
Beliau berkata, satu lagi contoh ialah industri minyak dan gas.
"Penyertaan bumiputera dalam sektor perkhidmatan hanya 6.7 peratus. EPP dibentuk untuk meliberalisasikan industri minyak dan gas tempatan dengan membenarkan peserta asing memasuki industri tanpa pegangan dan rakan kongsi bumiputera. Ini akan menyebabkan 3,000 vendor bumiputera, yang berdaftar dengan Petronas, terpinggir," katanya.
Syed Ali juga menyebut contoh senario dalam sektor pertanian yang memberi kesan tinggi kepada orang Melayu luar bandar.
"Ia strategik kerana petani Malaysia perlu memodenkan kaedah mereka dan menghasilkan tanaman mengikut standard global.
"Itulah sebabnya mengapa perlu EPP disasarkan bagi sektor pertanian," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment