Saturday, May 28, 2011

Insentif guru tidak menyeluruh
Ibnu Thaqif
Sempena Hari Guru ke-40, Perdana Menteri telah mengumumkan insentif untuk para guru namu tidak menyeluruh untuk semua kategori.

Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia telah meminta satu kajian semula dibuat oleh Kementerian Pelajaran kerana telah meminggirkan warga pendidik sekolah rendah.

NUTP berhasrat untuk berjumpa PM bagi membincangkan berkenaan insentif dan tuntutan lain yang tidak diluluskan dan dilaksanakan.

Selain kurang insentif untuk warga sekolah rendah, warga pendidik yang memegang sijil Ijazah Tinggi juga tidak diberikan insentif. PM sepatutnya menimbang untuk memberikan satu atau dua kenaikan gaji bagi pemegang ijazah tinggi. Kenaikan ini perlu untuk menggalakkan guru menyambung pelajaran dan menambahkan ilmu. Bukan semua guru sanggup buat MA ataupun PhD kerana melibatkan masa dan kewangan yang besar.

Insentif untuk mereka adalah sangat sesuai kerana sekolah adalah institusi yang paling hampir dengan universiti yang mempunyai skim khas (DS) yang menggunapakai ijazah lanjutan.

Satu atau dua kenaikan kepada guru yang telah berkorban untuk belajar adalah sangat wajar tambahan lagi golongan ini hanya mewakili sebahagian kecil pendidik.

Saturday, May 7, 2011

RINTIHAN SEORANG ISTERI

BANYAK harapan disandarkan apabila seorang wanita itu menyerahkan dirinya sebagai suri kepada seorang lelaki. Sebahagian yang mereka ada, akan ditinggalkan. Jiwa dan raga akan diserahkan untuk seorang lelaki bagi sepanjang hayat pula.

Ada yang bernasib baik, mendapat suami bertanggungjawab memenuhi segala keperluan. Yang dulu dari keluarga miskin, kini cukup semuanya. Dulu berada, kini melimpah ruah rezekinya seperti juga kasih sayang yang diperoleh.

Tetapi ramai tidak bernasib baik, mendapat suami indah khabar daripada rupa. Dulu dari keluarga miskin, kini bertambah melarat. Yang dulu berkecukupan, kini hidup tunggang-langgang menyara diri dan anak.

Dan yang tentu ramai ialah suami yang tak reti-reti layan isteri. Walaupun berbuih mulut berleter, suami seperti buat tak endah untuk memahami perasaan dan hak isteri. Suami seperti pekak badak bila bab menghargai isteri ini. Tapi apa nak buat, dah jodoh.

Semakin lama usia perkahwinan bukan makin memahami tetapi semakin pentingkan keperluan diri sendiri. Sedangkan apa yang isteri harapkan bukanlah hal yang luar biasa dan besar. Cuma hal-hal kecil tetapi membawa makna besar. Jika mahu disenaraikan hal-hal kecil yang menjadi rintihan hati isteri itu tentulah begitu banyak. Ia sudah banyak dibahaskan.

Sebut saja soal memuji isteri. Juga malas membantu isteri mengurus rumah dan anak. Berat tulang membasuh pinggan mangkuk yang berlonggok di sinki. Ego dan gagal mengawal amarah, tak menghargai pendapat dan tak tahu mengambil hati isteri, suka berbohong dan tak memahami perubahan isteri.

Perangai sebegitu seperti diwarisi, diperturunkan dari generasi ke generasi. Mungkin sebelum mengahwinkan anak lelakinya, seorang ibu perlu memberi kuliah khusus bagaimana mahu menjaga isterinya agar ‘kecacatan kecil’ itu tidak berterusan.

Inilah yang Kucing Jantan dapat rasakan daripada respons kaum Hawa terhadap artikel Kucing Jantan pada 27 Mac lalu bertajuk Aduhai isteri yang lokek bersolek. Sebahagiannya begitu biasa didengar tapi masalahnya, ia tak mudah disedari suami. Ia seperti menyiram air di daun keladi dan masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

Surat 1 dari Norainon.

Saya sangat setuju dengan anda mengenai topik ini. Kebanyakan wanita hanya bersolek untuk orang lain di pejabat, bukan untuk suami. Anda tau kenapa? Sebab suami tak pernah menghargainya pun. Ada ke nak puji? Dah lah tak puji, kadang-kadang buat tak nampak je. Kalau perempuan lain, siap bagi komen lagi. Hati isteri mana tak panas.

Suami pun tak berdandan untuk isteri. Balik rumah, baring kat kerusi panjang, penat gila - macam dia sorang yang kerja. Tangan pegang remote control TV. Paling buruk, dah buang baju, berlengeng dan terburai semua lemak perut. Lepas tu berdengkur, TV pulak tengok dia.

Isteri balik dari pejabat, terus ke dapur untuk masak. Kalau ada anak kecil lagi teruk, semua nak diselenggarakan. Suami tetap depan TV dan mengharapkan makan malam tersedia ikut waktu.

Dah makan, isteri kena basuh pinggan dan berkemas. Mana nak basuh baju lagi. Bila dah penat, mana ada masa nak make-up untuk suami?

Alahai, kalau suami nak pasang lain, isteri cantik dan selalu bersolek pun, dia tetap jugak dengan keputusan dia tu. Saja je cari alasan nak salahkan isteri.

Anda patut tulis lagi satu rencana dan bincang mengenai kecacatan suami.

Surat 2 dari Shirana Hashimah

Hai kucing jantan. Ini mengenai wanita yang suka bersolek di luar rumah tapi bila di depan suami tak bersolek. Untuk pengetahuan Kucing Jantan orang perempuan bila bersolek untuk suami nanti suami kata nak pergi mana pakai lawa-lawa ni?

Dia juga akan kata sudah buang tabiat ke? Saya pernah dengar suami berkata bila keluar bersama dia, pakai kain batik pun tak apa. Buat apa nak pakai lawa-lawa. Bila kita berhias diri, suami pun tak puji kita. Sepatutnya suami kenalah beri pujian.

Bila di pejabat sebab apa orang perempuan berhias diri? Sebabnya nak jaga periuk nasi. Lagi satu pulak kena jaga penampilan. Kalau pergi pejabat dengan tak berhias nanti orang cakap macam jaga anak sepuluh orang. Jadi, janganlah nak komen orang yang suka bersolek

JANGAN PILIH PEMIMPIN YANG DIRAGUI

BERCAKAP mengenai kepimpinan Islam, selain Rasulullah dan empat sahabatnya yang menjadi khalifah selepas kewafatan baginda, nama Umar Abdul Aziz, cicit Saidina Umar Al Khatab menjadi sebutan paling popular.

Khalifah kerajaan Ummaiyah yang memerintah dari tahun 717 hingga 720 masihi itu dianggap mujaddid (pemerkasa agama Islam) pertama dan menjadi tanda aras sahsiah kepimpinan yang tiada tolok bandingnya.

Ketika dinamakan untuk menjadi khalifah pada usia 35 tahun, Umar berkeras menolak tetapi akhirnya terpaksa akur atas desakan kerabat dan kehendak orang ramai.

Walaupun mempunyai kuasa yang besar ketika Islam sedang berkembang pesat, Umar menjalani kehidupan yang sangat zuhud kerana sifatnya yang sangat 'takut kepada Allah SWT.' Diceritakan bahawa Umar pada suatu ketika hanya memiliki sehelai baju hinggakan beliau kerap terlewat tiba di masjid untuk menunaikan solat Jumaat kerana menunggu pakaiannya kering selepas dibasuh.

Di pejabatnya sentiasa terdapat dua batang lilin. Jika beliau menjalankan urusan rasmi, digunakannya lilin yang dibeli dengan peruntukan kerajaan. Untuk urusan peribadi, digunakan lilin yang dibeli dengan wang sakunya.

Pada zaman pemerintahannya, dikatakan kehidupan rakyat sangat makmur sehingga sukar untuk mencari penerima wang zakat yang akhirnya digunakan untuk pembangunan awam.

Kerajaannya tidak mengenakan cukai, sebaliknya rakyat dikerah bekerja rajin di bidang pertanian. Sesiapa yang memiliki tanah yang tidak diusahakan selama tiga tahun akan dirampas dan diberikan kepada orang lain yang mahu mengusahakannya.

Di majlis perjumpaan dengan rakyat, Umar selalu memberitahu, jika ada pegawai beliau yang tidak memberikan layanan baik, hendaklah dilaporkan kepadanya dan pelapor akan diberikan ganjaran antara 100 hingga 300 dirham.

Ucapan Umar yang menjadi petikan paling masyhur ialah:'' Pemerintah selalunya melantik pegawai untuk mengawasi rakyatnya. Aku melantik kamu (rakyat) untuk mengawasi diriku dan kelakuanku. Jika kamu mendapati aku melakukan kesalahan, bimbinglah aku atau halanglah aku daripada melakukannya."

Pada zaman sekarang, jika tidak mustahil, amatlah sukar untuk menemui seorang pemimpin yang mempunyai keperibadian seperti Rasulullah SAW sebagaimana Umar Abdul Aziz. Dan barangkali kita juga tidak akan menjumpai lagi orang yang menolak jawatan tinggi. Yang sanggup melobi, menipu dan merasuah supaya diberikan jawatan adalah lebih ramai.

Maka kita tidak boleh terlalu idealistik dalam urusan memilih pemimpin. Memadai kita meneliti dan menilai secara realistik dan pragmatik sahaja.

Di Malaysia, oleh kerana majoriti rakyat beragama Islam dan inilah juga agama rasmi, maka pemimpin tertinggi negara wajib seorang Muslim yang sahih menunaikan rukun Islam. Dia juga mestilah bertakwa, yakni mentaati segala perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.

Sekurang-kurangnya, itulah tanda zahir seseorang yang beriman. Menunaikan solat lima waktu, berpuasa, membayar zakat dan menunaikan haji apabila mampu. Dia juga tidak melakukan dosa besar seperti zina, menggelapkan wang rakyat, rasuah, minum arak dan sebagainya.

Sangat buruk akibatnya jika rakyat tersalah pilih pemimpin. Jika sekadar tidak sebijak pemimpin sebelumnya, tidaklah begitu memudaratkan jika si pemimpin masih mempunyai integriti dan baik akhlaknya. Yang ditakuti ialah kita memilih pemimpin yang diragui akhlak dan ketakwaannya.

Musibah

Jika ini berlaku, sama-samalah kita dan generasi akan datang menanggung musibahnya. Jangan salahkan takdir. Yang bersalah atau menzalimi sendiri adalah kita sendiri. Allah SWT sama sekali tidak menzalimi diri kita.

Sebab itulah kita perlu amat berhati-hati dalam memilih pemimpin. Jika ada sebarang tompok keraguan di hati kita mengenai seseorang, putuskanlah dengan muktamad bahawa dia tidak layak memimpin.

Tidak memberikan peluang kepada seseorang untuk menjadi pemimpin bukanlah satu penganiayaan. Ia bukan satu hukuman kejam atau perkara yang mengaibkannya. Memimpin bukanlah satu hak, tetapi hanyalah amanah.

Tiada siapa yang berhak membuat tuntutan untuk menjadi pemimpin. Sebaliknya hak menentukan siapa yang layak jadi pemimpin terletak di tangan rakyat. Hak ini juga bersifat amanah kerana jika tersalah pilih, kesannya terlalu buruk kepada rakyat dan negara. Oleh itu pilihlah pemimpin yang benar-benar diyakini memenuhi tuntutan Allah dan panduan Rasulullah.

Kenapa mahu menjudikan nasib diri, masyarakat dan negara dengan memilih seorang pemimpin yang dipenuhi dengan unsur keraguan? Sedangkan Rasulullah melarang kita melakukan perkara yang diselubungi was-was atau keraguan, sama ada dalam ibadat atau kehidupan.

Jika anda seorang beriman, jangan mudah tertipu atau terpengaruh dengan cakap orang lain. Siasat dan pertimbangkan dengan adil segala fakta yang terbentang. Kemudian berserahlah kepada Allah supaya diberikan segala petunjuk untuk kita membuat keputusan dengan betul.

Sesudah itu, marilah kita berdoa.

''Ya Allah, ya Rahman, ya Rahim. Ya Allah yang Maha Berkuasa lagi Maha Mengetahui. Engkaulah yang memberikan kuasa kepada siapa jua yang Engkau kehendaki. Sesungguhnya Engkau lebih mengetahui apa yang kami sedang alami.

''Angkatlah orang yang beriman untuk memimpin kami dan negara kami, dan jauhkanlah kami daripada dipimpin oleh orang munafik dan fasik. Sesungguhnya tiada daya upaya kami, ya Allah, melainkan dengan ketentuanMu. Tentukanlah yang terbaik bagi kami. Salawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW.